Life is wonderful with HIM ~ picture by =iNeddChemicalX of Deviant Art
Kehidupan di dunia ini, tidak dapat tidak akan wujud dugaan-dugaan dan cabaran. Ibarat menongkah di tengah lautan, yang gelombangnya tidak dapat dijangka atau diteka.
Maka sebagai pelayar samudera yang penghujungnya tak terlihat ini,kita memerlukan bekalan semangat dan kekuatan untuk mengharungi badai cabaran dan dugaan.
Dan saya tidak nampak, apa motivasi yang terbaik dalam samudera kehidupan ini, selain merapat kepada Ilahi.
Pada saya, itulah dia motivasi kehidupan yang hakiki.
Tiada yang memahami, Dia ada
Ada manusia diuji dengan ujian mental. Dia buat baik, dia buat itu dan ini, tiada siapa pun mahu menghargainya. Dia senyum, orang tak balas balik senyumannya. Pendek kata, dia terasing sendiri dalam kehidupannya tanpa sesiapa memahaminya.
Dan kalau dia lakukan sedikit kesilapan, seluruh dunia mencacinya.
Jangan kata pada saya perkara ini tiada. Ada sahaja berlaku di mana-mana.
Tapi untuk manusia yang sebegini, sekiranya dia merapat kepada Ilahi, Ilahi sentiasa ada. Ilahi mendengar aduannya. Kalau dia membuka Al-Quran, Ilahi seakan berbicara dengannya secara terus. Dan janji-janji daripada Ilahi membuatkan dia kekal berusaha, kekal melakukan kebaikan, tanpa kisah akan penghargaan orang lain.
Padanya, nilaian manusia menjadi terlalu kecil, apabila dia melihat nilaian yang Ilahi ingin berikan.
Merapat kepada Ilahi, tertingkat kekuatan mentaliti. Sebab itu, orang yang benar-benar beriman kepada Allah SWT, tiada yang mengalami sakit mental. Pernah dengar ke sahabat Rasulullah, para tabi’in, da’ie-da’ie yang hebat kena sakit mental?
Walau diuji, walau diseksa, walau dibuang ke hujung dunia, walau seluruh alam tidak menerima mereka, mereka tetap hamba Allah yang utuh pemikiran dan jiwanya.
Kerna mereka sentiasa yakin, Dia itu ada, dan tidak pernah memungkiri janji-Nya. Ilahi memahami mereka. Tidak pernah bosan mendengar aduan mereka. Sentiasa memerhatikan, dan sentiasa mengira apa yang mereka lakukan.
Dugaan hebat, cabaran yang memenatkan, Dia ada.
Ada manusia diuji dengan kesukaran. Hingga diri rasa terhimpit ke hujung alam. Ada pula yang hidupnya tidak habis-habis diduga. Selepas satu, satu lagi dugaan tiba. Mungkin kalau orang biasa, mereka akan kelelahan, dan rasa hendak tenggelam dalam kelemahan. Kerana tiada tempat berpaut yang utuh.
Tetapi bagi yang merapat dengan Ilahi, segala dugaan adalah kecil. Malah dugaan dan cabaran itu sendiri kadangkala menjadi kegembiraan untuknya. Tanda Allah SWT tidak meninggalkannya dalam kesenangan yang menipu daya. Bila susah, baru mudah mengingatkan dirinya kepada Dia.
Sebab orang yang merapat dengan Ilahi, yakin bahawa Dia ada. Wujud memerhatikan mereka, mengira segenap kesusahan mereka. Bahkan mereka yakin bahawa Ilahi lah yang menurunkan segala dugaan dan cabaran, lantas mereka berkata: “Semua ini ada hikmahnya, dan kami tidak mengetahui”
Maka mereka menjalankan tanggungjawab mereka. Yakni hidup sebagai manusia tanpa putus asa. Berusaha, berusaha dan berusaha.
Tanpa kecewa.
Malah ada antara mereka, cabaran dan dugaan sudah menjadi seakan hiburan harian.
Masa senang, Dia ada
Ada pula yang terlalai dengan ujian kesenangan.
Kesenangan yang menipu daya, ibarat udara sahaja gayanya. Dihirup tanpa sedar. Namun ianya udara beracun yang merosakkan jika dihirup dengan kadar tidak terkawal. Virus ini akan membiakkan riak, takabbur, ujub, dan segala macam sifat mazmumah yang menghancurkan.
Namun bagi yang merapati Ilahi, mereka tidak akan tenggelam dalam hal ini.
Kerana mereka yakin Dia ada. Melihat dan memerhati.
Justeru mereka tidak akan sesekali melangkah ke tanah larangan-Nya. Segala kejayaan, kesenangan, semuanya dikembalikan kepada-Nya. Kerana yang merapati Ilahi yakin bahawa, semua itu hanyalah pinjaman-Nya sahaja.
Maka terlahirlah satu peribadi ajaib.
Bila susah dia bersabar. Bila senang dia bersyukur. Hanya yang merapati Ilahi mampu menjadikan ianya realiti.
Yang merapati Ilahi, semuanya ajaib
Saya memang tidak dapat tidak, tak mampu hendak meninggalkan perkataan ajaib kepada manusia yang merapati Ilahi dalam erti kata sebenar. Hal ini kerana, keyakinan, kekuatan, ketabahan dan kecekalan mereka bukanlah lahir sekadar dari kata-kata omongan sahaja. Bahkan ianya adalah amalan, manifestasi dari hati yang benar-benar kemas keyakinannya.
Ramai sahaja boleh berkata: “Allah ada”
Tetapi bila diuji, tunggang langgang juga kehidupannya. Hal ini kerana, Dia tidak mengingati Allah tika senangnya. Tika gembiranya, dia tidak merapati Allah SWT. Tidak bahagianya dia tidak bersama Allah SWT. Sebab itu bila dia sukar, walau mulut berkata Allah ada, di hatinya dia gelabah tanpa punca.
Kerna mereka yang tidak merapati Allah dalam erti kata sebenar(dalam seluruh kehidupannya) tidak akan mampu merasai kehadiran Allah ketika kesusahan mereka.
Justeru orang-orang yang merapati Ilahi adalah ajaib. Ya, bagaimana mampu istiqomah merapati sesuatu yang ghaib? Bagaimana boleh percaya pada pahala-pahala, ganjaran-ganjaran yang tidak kelihatan? Bagaimana boleh sabar dengan dugaan dan cabaran? Bagaimana mampu hidup tanpa penghargaan dan pujian?
Ajaib, ajaib, sangat ajaib.
Penutup: Ini motivasi tidak teruntuh, tidak bermusim
Merapati Ilahi, adalah dasar kepada segala motivasi. Motivasi ini tidak teruntuh, melainkan dengan menjauhnya kita daripada Ilahi. Motivasi ini juga tidak bermusim kerana sifatnya sepanjang masa, setiap masa, pada semua detik dan ketika.
Inilah kekuatan utama untuk pendayung kehidupan penuh pancaroba. Kerna, walau tersesat di tengah lautan tak berpenghujung, tanpa manusia di sisi, Ilahi tetap ada memerhati.
Ilahi tidak tidur. Tidak mengantuk. Tidak penat. Tidak terlalai. Tidak melemah.
Sedetik pun Dia tidak meninggalkan kita. Memerhati dan mengira, membantu dan memberikan tenaga.
Merugilah orang-orang yang tidak melihat motivasi ini da mengambilnya.
Inilah dia motivasi terulung, rahsia kepada kejayaan orang-orang beriman sebelum kita